For English readers, click here for an automatic translation via Google Translate.
23 Jan 2010
SINGAPURA
PERTANDINGAN ANIMASI N.E.MATION!
Minat terhadap kartun berbaloi
Pelajar menengah tiga bersama tiga rakan hasilkan klip animasi yang dipilih ke peringkat akhir
Oleh
Nurul Dayana Simangoon
SEJAK kecil lagi, Khairul Azri Uthli, 15 tahun, terpesona setiap kali menonton kartun di televisyen dan ingin tahu bagaimana caranya menghasilkan kartun seperti itu.
Demikian minatnya terhadap animasi hingga klip animasi yang dihasilkannya bersama tiga lagi pelajar menengah tiga Sekolah Victoria (VS) berjaya dipilih ke peringkat akhir pertandingan animasi N.E.mation! baru-baru ini.
Ini meskipun mereka diberikan hanya seminggu untuk belajar menggunakan sofwe animasi Toon Boom, yang turut digunakan untuk menghasilkan kartun The Simpsons.
Klip bergelar Caretalyst yang dihasilkan oleh keempat-empat mereka itu dipilih menjadi antara 10 animasi terbaik daripada 440 penyertaan dalam pertandingan yang dianjurkan buat kali keempat tahun ini.
Tema N.E.mation! tahun ini pula ialah ‘Mengapa Saya Sayang Akan Singapura’.
Ketika ditemui baru-baru ini, Khairil, salah seorang anggota kumpulan yang digelar ‘Catalyst’ itu, berkata klip animasi mereka menggunakan cara unik untuk mendidik warga Singapura agar menjadi warga yang lebih penyayang menerusi istilah sains.
‘Kami minat terhadap animasi dan sains, oleh itu kami cuba menghasilkan sesuatu yang menggabungkan kedua-dua minat kami itu. Caretalysts mengisahkan tentang satu kelas kimia unik yang mengajar murid-murid cara ‘menghasilkan’ warga Singapura penyayang menerusi satu eksperimen saintifik.
‘Dalam klip ini, eksperimen itu menggunakan beberapa ‘bahan pemangkin’ seperti ‘sukarelawan ceria’, ‘sifat ihsan antara satu sama lain’ dan ‘sikap toleransi terhadap bangsa dan agama lain’,’ ujar Khairil.
Kali ini pertandingan peringkat kebangsaan sempena kempen Pertahanan Mutlak itu menarik penyertaan 1,569 pelajar sekolah menengah dan maktab rendah. Jumlah penyertaan itu merupakan satu peningkatan 67 peratus berbanding tahun lalu.
Menurut ketua kumpulan, Kenneth Chiang, pula klip tersebut mengambil masa tiga minggu untuk dihasilkan dan mereka terpaksa mengorbankan cuti sekolah Disember lalu bagi menjayakan projek tersebut.
‘Pengalaman menghasilkan animasi amat seronok kerana kami dapat ‘menghidupkan’ sesuatu yang sebelum ini tidak dapat bergerak,’ ujarnya, sambil menambah klip mereka dihasilkan menerusi teknik animasi 2-D.
Pemenang N.E.mation! akan diumumkan pada 11 Februari ini. Orang ramai juga diundang mengundi klip animasi pilihan mereka hingga 1 Februari ini di www.nemation.sg.
Pemenang berpeluang ke Amerika Syarikat untuk melawat studio Dreamworks Animation SKG.
Source: http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,157771,00.html